SEMOP: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Majlis Perasmian Pesta Pulau di Pulau Bruit hari ini.
Ketika berucap di majlis berkenaan, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak akan terus komited membangunkan insfrastruktur asas seperti bekalan air untuk penduduk di Pulau Bruit. Ianya melibatkan pembekalan 5 Juta Liter Per Hari (MLD) air kepada pulau tersebut, dengan kos keseluruhan projek dianggarkan melebihi RM60 juta.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka siap pada penghujung tahun ini.
"Pada penghujung tahun ini kita dapat merasmikan 5 juta MLD air yang kita salurkan di Pulau Bruit ini,"katanya ketika berucap merasmikan Pesta Pulau Bruit di Tapak Rural Growth Centre (RGC) Semop pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut meluluskan 56 blok skim perumahan baru di Pulau Bruit dengan kos RM4.5 juta akan ditanggung oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
"Rumah yang akan kita bangunkan seperti di Kampung Dato atau Kemuyang di Sibu, kalau di Kuching, ia seperti perumahan di Sungai Bedaun. Deposit RM10,000 GPS akan tanggung, dan yang lain anda bayar.
"Kita akan tambah lagi sekiranya masih diperlukan, kerana saya percaya masa depan Sarawak sangat cerah,"tambah beliau.
Premier turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk pembinaan Pusat Tani dan Medan Selera di Pulau Bruit, termasuk RM5.6 juta kepada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) bagi membaik pulih rumah nelayan.
Pada majlis itu, Datuk Patinggi Abang Zohari juga telah menyempurnakan upacara penyerahan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak kepada tiga penerima, diikuti penyampaian Cek Pampasan Tanah Bagi Projek Pemutihan Tapak Sedia Ada SK Sebako Bruit Land District Bahagian Mukah berkeluasan 0.423 hektar melibatkan tujuh lot kepada seorang penerima.